I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, September 27, 2012

K.U.C.I.N.G ( Video ni sapa tak tengok dia rugi )

video

Kalau di sekolah, para guru berebut-rebut mahu mengajar murid-murid di kelas terawal, kerana mereka bijak, pandai dan boleh diajar dengan cara yang mudah..
 
.. tetapi aku sebaliknya, mengajar murid-murid istimewa yang sukar dibimbing dan memerlukan kasih sayang serta layanan yang istimewa; penuh dengan kesabaran dan ketabahan.
 
Walaupun keupayaan menyebut satu perkataan 'kucing' dengan betul itu adalah satu perkara kecil, namun bagi kami ia adalah satu kejayaan yang sangat besar dan bermakna..
 
Tiada yang mustahil dalam hidup. Laluilah dengan gembira.
 
p/s - Saya gembira menjadi guru pendidikan khas. Alhamdulillah. Terima kasih Kementerian Pelajaran Malaysia kerana peluang ini. 

Sunday, September 23, 2012

Lepasan

video

 
Malam tadi ada kawan post video dalam laman Facebooknya. Video majlis perpisahan sewaktu hari terakhir kami semua di institut perguruan. Bila tengok video ini, apa yang dapat aku lihat, budaya menghargai dan memuliakan guru masih lagi menebal.
 
Kemunculan utama aku dalam video ini pada minit 6:37.
Dalam diam, aku sendiri rindu kepada alam guru pelatih yang sangat indah dan berwarna warni. Pada waktu itu, semuanya masih dalam bimbingan. Kalau ada yang tersilap, akan ada yang membetulkan. Hari ini, semua tindakan aku sebagai guru adalah hasil didikan dan tunjuk ajar mereka.
 
Kadang-kala aku hairan, bagaimana ada segelintir ahli masyarakat yang sudahlah tidak menghargai para guru malah sanggup menghina dan mencaci profesion perguruan itu sendiri. Mungkin ada saat kita terlupa, kita yang bijak membaca hari ini berpunca dari kesabaran dan kebijaksanaan seorang cikgu.
 
Video ini sangat bermakna kepada aku secara peribadi. Untuk kembali kepada kenangan itu, terlalu jauh barangkali.
 
Masih segar dalam ingatan, kata-kata pensyarah tutor aku pada sesi mohon restu ini.
 
"Semoga menjadi guru yang baik. Teruskan attitude kamu yang baik"
 
p/s - Kata-kata seorang guru penuh dengan hikmah dan doa.
.


Wednesday, September 19, 2012

Pantai Timur

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Masih segar dalam ingatan bagaimana emak tidak mengendahkan permintaan aku untuk menyertai rombongan ke kelantan 12 tahun yang lepas bersama dengan rakan-rakan sekolah. Waktu tu aku masih darjah 6. Semua kawan-kawan sebaya di sekolah agama pergi.
 
Setelah tamat rombongan, aku mendengar dari jauh saja cerita-cerita menarik mereka di dalam kelas. Cemburu usah cakap. Bila mereka bercerita, aku rasa tersingkir. Aku berasa terkilan pada waktu itu kerana rombongan 4 hari 3 malam itu tersangatlah murah, tapi emak tidak mahu membenarkan aku turut serta atas alasan kos.
 
Sehingga hari ini peristiwa itu berbekas dalam hati. Masa tu, emak buat tak endah saja apatah lagi untuk mahu memujuk. Yang aku ingat, emak ada cakap,
 
" Belajar rajin-rajin. Esok bilo dah berjayo lobeh dari tu kau boleh poie. Ko (ke) negara omputih pun ko lopeh (lepas)"
 
Aku rasa, peristiwa ni macam ketulahan dalam hidup aku. Sejak dari itu, aku tak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Kelantan mahupun ke Terengganu biarpun berkawan dengan ramai kawan-kawan dari Pantai Timur.
 
Tapi kata-kata emak itu benar. Bila sudah menjadi seorang guru, akhirnya peluang ke negeri Pantai Timur itu pun tiba. Bershopping sakan aku membeli pakaian batik dan merasa pelbagai juadah asli negeri tersebut. Unik dan lazat.
 
Percutian yang sangat best dan menghiburkan. Hilang semua tekanan biarpun keletihan.
 
p/s - untung dapat Guru Besar yang sporting. Senang hati bila melancong bersama.
.

Thursday, September 13, 2012

Peperiksaan . Gentar . Bersama .

video

 
Setelah menjadi guru barulah aku mengerti erti pengorbanan. Barulah aku faham dialog-dialog seperti " itulah, dia yang nak periksa... kita pulak yang risau..."
 
Minggu ini merupakan minggu peperiksaan. Murid-murid Tahun 6 di seluruh Malaysia akan dan sedang menduduki peperiksaan UPSR. Di sekolah aku, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban tidak terkecuali. Tahun ini 4 orang pelajar akan berjuang dalam UPSR.
 
Setiap malam sepanjang minggu ini, aku habiskan bersama mereka di asrama. Nak duduk-duduk rehat di rumah bagaikan tidak sedap hati. Lebih baik melihat sendiri persediaan mereka seperti hari-hari yang lepas.
 
Semoga kamu semua dapat menjawab dengan baik dan tenang. Cikgu setiap hari mendoakan yang terbaik untuk masa depan kamu semua. Biarlah pengalaman peperiksaan ini kita kongsi bersama. Rasa takut, rasa bimbang.. kita ganti dengan kata-kata semangat dan berkat restu ibu bapa, guru-guru dan kesemuanya.
 
Selamat Berjaya,
untuk anak-anak cikgu yang cikgu sayang.
 
p/s - sibuknya rasa minggu ni.
.


Monday, September 10, 2012

Jodoh.

 
Hari Ahad adalah hari cuti. Jadi, pagi-pagi lagi sudah pun ke Kuala Pilah bagi menghadiri kenduri perkahwinan sepupu abah. Hubungan aku dan sepupu abah ini agak rapat memandangan jarak umur 2 tahun lebih tua dari aku. Dulu masa zaman kecil-kecil, kalau balik ke kampung,dialah antara saudara yang boleh dijadikan kawan sepermainan.
 
Aku jarang memuji seseorang wanita itu cantik melainkan aku merasakan sendiri dia memang betul-betul cantik di mata aku. Selalunya cantik di mata aku,cantik jugalah di mata emak. Dan sepupu abah aku ini, yang juga aku panggil sebagai induk salina (Ceh, nampak macam kampung sangat kan gelaran ni ??) dari kecil, memang cantik dan manis orangnya. Ini serius.
 
Secara ringkas, aku berpuashati menghadiri kenduri perkahwinan induk salina yang bagi aku ringkas tapi  menarik. Dengan tema majlis dan pelamin putih silver yang nampak bersih, kemas dan suci, alunan gamelan atau cak lempung menghiburkan serta makanan yang sangat sedap membuatkan aku rasa sangat senang hati.
 
Cuma, ada satu dua perkara yang buat aku rasa macam nak lari jauh-jauh dari kenduri ni. Pertama, soal kereta. Kedua, soal JODOH.
 
Soal kereta, aku tak ambil pusing sangat. Bagi aku kereta aku sekarang sangat-sangat sesuai untuk kedudukan aku sebagai lelaki biasa. Cuma yang menjadi masalah, rasa kurang senang bila ada orang cakap pasal kepunyaan aku yang tak sepatutnya pun menjadi topik perbualan orang awam. Bagi aku orang lain pun pakai kereta jugak.
 
Yang menjadi masalah sekarang ni, bab JODOH.
Susah rasanya mahu menjawab beberapa soalan yang ringkas tapi tiada jawapan.
 
 
orang soal,
aku jawab
 
" Bujang soghang (sorang) ni bilo laie...?"
- "... ontahlah, bolum laie ni ha.. tengok-tengok yo dulu kondughi (kenduri) oghang (orang).."
 
" Dah ado calon ko bolum.. Kalau bolum, bulih yo mak long caghian (carikan) kek ghomeh (Gemas) tu ? Nak ko.. ?? "
- " uish,. jangan mak long.. sey (saya) baghu (baru) yo ko kojo.. bagi omak duit pun tak banyak laie ni ha...."
 
" Dah ado calon ko bolum.. kalau dah ado, bawak yo sokaghang (sekarang) ni ha, toghuish yo la (terus) sokali arung (sekaligus) tumpang nikah yo hari ni.."
- ' humangaihhh.., x dapek do macam tu, main tumpang-tumpang lak kondughi oghang..  kok marah oghang lain sok.."
 
"Apo yang susah bona... xdo ko kawan maso blaja dulu..? Kek (kat) sekolah ngajar sokaghang ni.... takkan tak do kot? "
- "... tak do.. maso blaja dulu, omak sughuh (suruh) blaja yo.. blaja sungguh-sungguh. Takdo pulak dio sughuh caghi (cari) bona jodoh masa blaja dulu.."
 
 
...
 
...dan lain-lain lsgi bentuk soalan yang bertujuan sama. Bila aku perkenalkan diri aku sebagai anak kepada abah. Lagi rancak orang bertanya pasal jodoh aku. Uish... rimaslah.
 
Sebenarnya, aku tahu jawapan aku tu tak menjawab soalan. Tapi apa boleh buat, aku memang tiada jawapan. Kadang-kadang aku fikir juga, kenapa emak sendiri pun tak bising-bising tapi orang lain pulak yang lebih-lebih risaunya ??
 
Nasib baik umur aku 24 tahun. Ada jugak alasan lain yang boleh digunapakai. Saya budak baru bekerja. Saya budak muda lagi, baju - makan - pakai, semua emak yang uruskan. Saya budak baru nak kumpul duit banyak-banyak.
 
.. Bila difikir-fikir semula, aku tahu jawapannya yang tepat -
Calon untuk aku masih lagi KOSONG !!!
 
p/s - malam ni aku niat nak tido atas katil setelah bermalam-malam tertido di atas lantai akibat melayari internet.
.

Saturday, September 8, 2012

Belajar Emosi

video

 
Hari Khamis yang lepas aku mengajar subjek Pendidikan Kesihatan untuk murid-murid tahun 1. Jadi, tajuk pelajaran hari tu 'Perasaan Saya'. Aku rasa wajar aku ajar topik ini walaupun murid-murid aku ini menghadapi masalah pendengaran. Emosi merupakan satu bentuk komunikasi yang tidak memerlukan lisan tetapi lebih memainkan peranan dalaman.
 
Secara jujurnya, aku telah pun melatih beberapa kali murid-murid aku ini memahami bentuk emosi dengan melihat gambar dan demonstrasi lakonan aku. Jadi, untuk mendapat mood emosi sedih, aku haruslah menangis mengeluarkan air mata dulu.. Hehehe...  (guna air mineral jer). Begitulah seterusnya sehinggalah aku dapat hasil yang mereka tunjukkan di dalam rakaman video di atas.
 
Sebenarnya, mengekpresikan emosi ini boleh dipelajari.
 
Aku selalu terfikir, kita mungkin boleh belajar tersenyum walaupun emosi dalaman kita mungkin agak sedih. Sekiranya berjaya, itu tandanya kita sudah mahir beremosi. Atau istilah mudahnya kita sudah mula bijak mengawal emosi mengikut persekitaran.
 
Kalau menjadi kanak-kanak.. sudah pasti mudah untuk mengekpreskan emosi. Kalau berkehendakkan sesuatu tetapi tidak dituruti, maka pamerkan saja emosi sedih. Tiada siapa yang akan mengata kita. Kalau bernasib baik, kemahuan kita akan diterima.
 
Namun, menjadi dewasa, kemahiran beremosi sudah pasti menjadi lebih kompleks. Ada masa kita terpaksa menyembunyikan emosi sebenar kerana mahu memberikan yang terbaik dalam hidup. Mungkin untuk diri sendiri, atau orang lain.
 
Sejak akhir-akhir ini, kemahiran beremosi aku ada masanya berada dalam kedudukan baik. Ada masa sekadar memuaskan. Ada juga masa-masanya, berada dalam keadaan yang tidak baik. Tapi aku selalu percaya setiap satunya sudah pasti memberi hikmah.
 
Sampai bila-bila pun kita tidak akan berpuas hati dengan emosi kita dan bagaimana kita mengekpresikannya. Tapi bila aku tengok kawan-kawan yang sering positif dan sentiasa ceria riang... mereka selalunya tidak pedulikan pandangan orang lain terhadap emosi mereka. Yang penting mereka happy menjalani hidup. Dan perkara ini banyak bezanya dengan aku.
 
Kalau orang tanya, apakah emosi aku saat ini..?? Aku sendiri pun keliru...
 
Apa yang boleh aku lakukan, melihat video anak-anak murid aku tadi dan memahami semula jenis-jenis emosi. Untuk mempelbagaikan emosi dalam satu masa, mungkin pengalaman adalah guru terbaik. Betul tak?
 
p/s - suka tengok Sofea Jane berlakon. Dia berwajah lembut tetapi berpersonaliti 'kuat'.
.
 


Tuesday, September 4, 2012

Rancang

Baru-baru ni, abah ada buka cerita tentang rumah. Mula-mula aku fikir mungkin tu adalah perbualan antara emak dan abah sahaja. Mana tau, diorang ada duit lebih nak beli rumah lain. Nak tambah aset mungkin. Aku dengar saja dari hujung telinga. Mata melihat tajuk-tajuk keratan akhbar. Politik yang tak sudah-sudah. Makin tak matang pihak pembangkang ni berpolitik.
 
Dalam aku dok baca-baca akhbar tu, tumpuan aku lebih tertumpu pada bahagian kesihatan. Ketumbuhan pada rahim wanita. Fibroid. Arwah mak long dulu sakit macam ni la, yang dia terbawa-bawa sampai ke akhir hayat.
 
Masa tengah abah sedang bercakap-cakap tu. Telinga aku tertangkap dengan perkataan 'LELONG'.... lepas tu "RM160 00".. Aku rasa aku kena memberi tumpuan. Sebab kalau mengikut perkiraan aku, jumlah tu agak besar untuk abah dan emak yang dah pun berpencen tapi masih bekerja lagi.. dan sudah pun mempunyai kediaman.
 
.... " bolehlah bang. Abah fikir elok la untuk kau tue. Beli awal-awal pun ada faedahnya," jadi betullah, semua perbualan tu untuk aku.
 
Kadang-kadang emak dan abah ni dah jauh ke depan dalam merancang segala perkara untuk masa depan aku. Aku bersyukur jugalah, sebab perkara tentang akad dan nikah belum lagi menjadi topik utama dalam fikiran diorang berdua. Kalau tak, yang tu aku surrender awal-awal.
 
Sebenarnya, dalam hati.. aku sendiri memang berkehendak mempunyai rumah sendiri. Sejak aku ke apartment kawan aku yang urban tu, keinginan aku itu semakin meluap-luap. Aku selalu membayangkan yang aku bakal menghiaskan rumah dengan dekorasi ringkas dan urban. Kalau boleh, semua perkakas rumah aku mahukan cap IKEA. Ringkas. Moden. Jimat Ruang. Multiple Purpose.
 
Jadi, aku nak kediaman sendiri. Satu bilik, aku nak jadikan ruang peribadi. Tempat letak buku-buku. Ruang bekerja. Wardrobe.
 
Angan-angan kan ?? Tapi sejujurnya, biarlah aku merancang sebaik-baiknya. Sekarang, biarlah dengan hutang kereta saja dulu. Yang lain-lain,.. kemudianlah...
 
"Nanti abah g tengok. Mana tau, ada pulak..."
 
Hahaha.. Aku gelak jer dalam hati. Apa kata mak abah, aku iyakan. Mana tau mungkin rezeki aku nak dok dekat dengan mak abah.
 
Aku selalu bercakap dalam hati. Perempuan mana yang memiliki aku mesti akan merasa diri mereka malang sedikit dari biasa. Sebab, semua keputusan, mereka perlu ada untuk menyokong aku dari belakang. Jadi, aku perlukan perempuan yang turut mampu membimbing aku kepada kebenaran. Tak salah kan?
 
Tapi, sekurang-kurangnya aku lelaki yang boleh temankan perempuan bershopping. Tu boleh dikira bonus tak ?? Hahaha...
 
p/s - Hari ni kat sekolah, ada seorang cikgu tu buat " Open Class".. bergasak la makan nasi lemak dengan rendang ayam... Kenyang !!
 
 
..


Saturday, September 1, 2012

Cerita Merdeka

 
 
 
 

 
Gambar-gambar semua ini adalah cerita sambutan kemerdekaan pada tahun lepas. Ketika itu aku masih lagi bergelar guru pelatih atau cikgu praktikal. Seronok rasanya menyambut hari kemerdekaan bersama kanak-kanak.
 
Aku akui, semakin meningkat usia, semangat untuk menyambut kemerdekaan tidak seghairah ketika berada pada usia persekolahan. Kalau di bangku sekolah dulu, pantang ada pertandingan yang melibatkan patriotisme, sudah pasti aku terjun dulu, biarpun emak selalunya menegah. Kebiasaannya, emak jarang mempercayai bakat aku sehingga aku membawa balik hadiah.
 
Bila bercerita tentang kisah Merdeka, apa yang menjadi minat aku adalah lagu-lagu patriotiknya. Sampai ke hari ini, lagu 'Keranamu Malaysia' itu menjadi sebuah lagu yang paling aku gemari. Bagi aku liriknya ringkas, mudah difahami dan terlalu bermakna untuk dijadikan medium menceritakan perubahan kemajuan serta kejayaan yang telah dicapai oleh negara.
 
Namun hari ini, mengecapi kemerdekaan mungkin tidak sesukar memeliharanya. Untuk memajukannya apatah lagi. Memerlukan pelbagai usaha yang berterusan dan berprinsip. Oleh itu, jelaslah budaya merusuh dan sentiasa memberontak atas segala usaha murni memajukan negara itu bagaikan musuh dalam selimut bagi kita.
 
Jadi tidak hairanlah kalau kita dilabelkan sebagai bangsa yang kaya dengan adab dan adat pusaka tetapi rendah martabat dalam nilai-nilai murni yang berguna dalam kehidupan seharian. Jadi, bagaimana mahu menjadi warga maju dari segenap aspek ??
 
Kita mungkin merdeka daripada penjajah yang mengganas. Tapi hari ini, kewujudan anasir baru dalam negara umpama 'penjajah diam' yang memerhati kelemahan kita untuk meruntuhkan segala apa yang kita ada. Kelemahan kita adalah kegagalan untuk bersatu sebagai satu bangsa.
 
Hari ini, tugas kita adalah mengelakkan sebarang idea-idea anasir luar yang ingin melihat keamanan kita jatuh. Idea dangkal seperti ingin menukar bendera negara, melakukan rusuhan, mengadakan demostrasi haram, adalah satu pekerjaan yang sia-sia. Ubahlah dari mengamalkan budaya songsang seperti itu. Kita punya banyak cara lain untuk melakukan perubahan sebenarnya.
 
Kita mungkin sukar untuk berasa bersyukur, kerana setiap langkahan kaki kita adalah bebas. Setiap kehendak kita adalah bebas untuk dicapai. Asalkan ada kemahuan dan usaha dari diri sendiri. Namun, sekiranya kita fikir kebebasan yang ada selama ini, adalah milik kita mutlak. Tidak sebenarnya.
 
Setiap yang bebas, ada hadnya. Daulatkanlah undang-undang negara.
 
Fikirlah sebaik-baiknya. Di dalam Malaysia, hak setiap rakyat adalah samarata. Siapa yang berusaha, dia peroleh nikmatnya. Dan nikmat menjadi manusia sudah tersedia di persada negara. Apa lagi yang kita mahukan sehinggakan sentiasatidak berpuas hati sampaikan sanggup melakukan pemberontakan ??
 
Jadi, dari rebung lagi, perlu kita asuh generasi baru dengan frasa patriotisme. Kalau tidak, nanti ada saja makhluk yang mulut saja bercakap "Cintakan tanah air" tetapi hati penuh dengan rasa pemberontakkan yang tidak jelas dan sia-sia.
 
Sebagai rakyat Malaysia, belajarlah bersyukur.
 
p/s - saya memang bencikan rusuhan haram. demonstrasi jalanan. Itulah kenyataannya. Yang saya lihat adalah kemajuan dan kemudahan yang tersedia.
.