I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, December 31, 2012

2012 - End

 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Beratnya rasa hati untuk meninggalkan segala suka duka 2012. Tahun 2012 telah memberi satu jurang hidup yang sangat besar dan alhamdulillah aku berjaya melaluinya dengan sabar dan tenang.
 
Melalui tahun 2012, aku dapat mengenali dunia baru yang tidak pernah aku jangkakan. Walaupun pada permulaan aku seperti resah tapi bila memasukinya aku bersyukur. Dunia pendidikan khas yang sangat istimewa di hati.
 
Beberapa perkara yang dicita-citakan dalam hidup akhirnya dapat dikecapi. Semuanya bermula dari mimpi akhirnya dengan berkat usah dan restu semua orang akhirnya ijazah yang diimpikan berjaya dalam genggaman. Begitu juga rezeki dari Allah.. Aku bersyukur, segala yang aku impikan, Allah hadiahkan. Alhamdulillah.
 
Pengalaman pertama kali menyambut Hari Guru sebagai guru memang sanagt bermakna. Terasa dihargai. Bersyukur kerana pihak sekolah sangat mengambil berat dengan sambutan hari-hari penting seprti Hari Guru. Semua cikgu-cikgu sangat sporting.
 
Dalam tahun ini, berdamping dengan sahabat-sahabat baru, kenalan-kenalan baru yang sudah pasti meninggalkan memori yang paling dalam dalam lubuk hati. Bersama Kak Adah, Kak Hasni, Kak Suraya, Kak wan yang sentiasa membantu dan berada di sisi bukan sahaja dari segi tugas malah kehidupan sehari-hari. Begitu juga keapda Min dan Anis, kawan baru yang sama-sama melapor diri.
 
Tidak ketinggalan, geng-geng KUP - kak yati, kak wan, kak hasniah, kak hasliza, kak ku mimi, kak azlina. You all memang terbaekk.. !!
 
Walaupun sibuk dengan tugas sebagai guru, namun melalui kerjaya ini, aku berjaya melawati pelbagai tempat di Malaysia dengan atas dasar berkursus, menjadi guru pengiring dan sebagainya. Dari perlis sehinggalah ke Melaka, dari timur hinggalah ke barat.. semua dapat aku jejaki. Namun pengalaman ke Pulau Langkawi , bermandi manda di Pulau Dayang Bunting adalah destinasi yang tidak mampu aku lupakan sehingga kini.
 
Namun segala yang bermula, sudah pastilah akan berakhir. Pengakhiran 2012 sangat membayangi kehidupan aku. Kehilangan Naim dan Nasrul pada musim-musim pengajaran akan datang sangat memberi kesan yang mendalam kepada aku. Doa aku, semoga mereka berjaya di peringkat menengah dan tidak melupakan aku.
 
Kehidupan harus diteruskan.
 
Menjelang 2013, azam tahun baru sudah pastilah tertumpu kepada anak-anak didik yang bakal menduduki UPSR pada tahun 2013. Sebagai guru, aku memang mahu melihat, anak-anak pendidikan khas berjaya seperti orang lain. Jadi, aku mahu salah seorang atau lebih dari mereka mendapat 5A.. kalau tidak pun subjek sains mesti A.
 
Tak salah kalau mahu bermimpi. Biarlah mimpi sampai ke bintang.
Dan tahun 2012 seperti bayang-bayang yang tidak mungkin hilang.. biarpun siang mahupun malam.
 
Sukar melupakan 2012 yang indah bergemerlapan.
 
p/s - aku sedang menangis.
.


Thursday, December 27, 2012

Mesyuarat Guru

 
 Setelah lebih sebulan bercuti, akhirnya panggilan untuk berkerja kembali semula. Mesyuarat Guru buat kali pertama untuk sesi baru sudah pun bermula. Sebagai seorang guru, ini adalah mesyuarat guru yang pertama bagi aku. Sebelum jam sembilan lagi aku rasa, semua guru sudah pun memenuhi ruang di Bilik Gerakan Sekolah.
 
Aku datang memang tepat-tepat jam 9. Dengan memakai t-shit berkolar dan jeans. Berkasut tapi tidak berstokin. Bila Guru Besar mengingatkan mesyuarat hari ini adalah rasmi, aku telan air liur sendiri. Memang 'anak bongsu sekolah' la aku ni... Semua benda tak macam orang lain. Huh...
 
Semua guru dibekalkan dengan buku rekod mengajar. Mana-mana guru kelas telah pun mendapat buku jadual kedatangan serta kalendar dari pihak sekolah. Untuk pengetahuan semua, tahun ini dengan rasminya aku merupakan guru kelas tahun 6 untuk kelas murid bermasalah penglihatan. Ada debaran di situ.
 
Dalam erti kata yang lain, aku diamanahkan untuk menjaga anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun 2013 ini. Aku senyum namun dalam hati aku terasa berat. Ini adalah cabaran. Ini adalah amanah. Insyallah, semoga aku diberi kekuatan dan mendapat tunjuk ajar dari guru-guru lain yang lebih berpengalaman.
 
Walaubagaimanapun, bila melihat jadual waktu tahun ini, aku menarik lafaz lega dan tersenyum lebar tak sudah-sudah. Terima kasih GPK 1, En Rosdi. Kene belanja makan nasi lemak ni.. Hahaha.. Jadual tahun ini telah menjadikan aku -
 
seorang guru sains yang sejati... hahaha.. !!
 
Selain daripada itu, aku juga turut mengajar subjek pendidikan jasmani untuk murid-murid tahap satu. Apa nak buat, memandangkan aku ni ketua panitia pj - dapatlah aku kelas-kelas KSSR yang banyak kerja pengurusannya. Positifnya, aku harap dengan mengajar PJ, aku dapatlah mengempiskan perut yang semakin membuncit ini.
 
Kemasukan 7 orang pelajar baru yang cilik-cilik belaka bakal mencabar kewibawaan aku sebagai guru PJ yang cergas dan cerdas. Bila mengajar kanak-kanak khas ni, kadang-kadang 7 orang satu kelas pun dah rasa macam 70 orang. Tapi setakat ini, aku fikir aku sangat gembira menanganinya. Senyum.
 
Mesyuarat ditangguhkan dalam jam 12.15 dan disambung dengan mesyuarat Kurikulum, HEM dan Kokurikulum pada keesokan harinya. Huh.. lepas tu aku pun pegi ambik buku teks untuk anak-anak murid kelas. Bila tengok kelas tadi, aku tersenyum saja.. kelas aku sangat cantik. Terima kasih kepada my class assistant  - madam kak ton !!
 
Kelas Kita Memang Terbaekkk...!!!!
 
 
 
 
 
...
 
Habis saja mesyuarat, aku pun bertolak ke Port Dickson - singgah bertemu dengan anak teruna seorang ni. Dah makin besar nampaknya. Sebelum dia nak melangkah ke sekolah menengah di ibu kota pada minggu depan, aku tergerak hati nak bertemu dan berpesan-pesan supaya dia menjaga diri dan belajar bersungguh-sungguh..
 
Naim, kamulah harapan cikgu..
 
 
 
p/s - Saya sayang sekolah saya... !! Macam tak percaya dah jadi seorang cikgu... huhu..
 

Tuesday, December 25, 2012

Desa Halaman


 
Hari cuti seperti hari ini, keluarga dan aku bercadang untuk pulang ke desa tercinta di Kuala Pilah. Daerah beradat di Negeri Sembilan. Rasanya, sudah lama juga tidak bertentang mata dengan uwan (panggilan untuk nenek di negeri sembilan).
 
Buah rambutan masih tidak juga susut meranumnya. Tapi memandangkan aku bukanlah pencinta rambutan, aku biarkan sahaja. Tidak cuba untuk menjamah apatah lagi mengaitnya. Tujuan asal untuk bertemu dengan uwan - jadi, sepanjang masa aku cuba berbual dengan uwan secara berkualiti.
 
Tak banyak yang kami bualkan melainkan mendengar rintihan sakit matanya. Kadang-kadang diselangselikan dengan cerita mak tam yang baru saja keluar dari wad akibat penyakit SLEnya. Tapi yang banyak kami kongsikan - perihal kisah kenangan bersama arwah atuk Talib semasa usia sakit beliau.
 
Bila bercerita tentang atuk Talib, terasa rindu pada arwah sangat menebal. Aku tidak dapat menafikannya kerana sejak atuk mula-mula tidak tidur malam akibat sakit di bahagian prostat sehinggalah ke liang lahad, aku bersama-sama dia.
 
Namun perkara yang sedih sebegitu, tidaklah sampai terbawa-bawa kepada tangisan air mata. Kerana aku sedar, disebalik rasa kehilangan yang aku alami, uwan pasti sudah pasti banyak kali melaluinya. Lalu hatinya lebih tabah, fikir aku. Jadi, kali ini dia hanya mendengar dan menokok tambah sedikit-sedikit.
 
Kali ini, uwan banyak juga ketawa. Kadang-kadang aku tidak boleh memahami uwan, atas satu perkara. Bagaimana dia boleh sanggup tinggal di desa seorang diri tanpa teman ?? Sampai ke hari ini aku fikir, dan aku tidak pula bertanya.
 
Kerana pada hemah aku, setiap orang mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak sanggup meninggalkan satu-satu perkara. Aku pun begitu juga.. sambil memandang helaian-helaian gambar yang aku sayang.
 
p/s - malam ini aku perlu tidur lebih awal. Esok ada mesyuarat guru. Maka selepas ini, tamatlah cuti untuk guru biasa seperti aku. Mulakan fokus kepada kerja.
.
.


Monday, December 24, 2012

Hari Minggu Yang Panjang.

 
 
 
 
 
 
Minggu ini merupakan satu minggu yang paling panjang. Bermula pada hari Isnin, sehinggalah ke hari Ahad - dan hari Ahadlah yang paling teruknya. Semua perkara aku telan satu-satu. Ada rasa gembira. Ada rasa duka. Mendung. Kelabu. Ceria. Disayangi. Dihormati. dan pelbagai.
 
Aku selalu mengingatkan hati aku. Belajar berdikari. Belajar berpegang pada prinsip diri. Aku juga selalu berprasangka pada diri - apa yang aku lakukan setakat ini,tidak boleh dianggap terbaik. Masih banyak lagi perkara yang perlu aku baiki.
 
Aku rasa, dalam dunia ini terdapat banyak perkara yang boleh memberikan kebahagiaan kepada aku. Aku peluk adik-adik aku. Mereka masih mahu membalas pelukan aku. Aku tatap wajah emak, emak masih lagi mahu berpaut pada tangan aku ketika berjalan. Emak masih lagi mahu membelai kepala aku biarpun aku sudah dewasa.
 
..dan abah masih lagi mahu bercerita tentang rutin hariannya yang terlalu sibuk.
 
Bila masuk hari mendatang, aku tidak mahu lagi keluar dari daerah tempat tinggal aku. Manusia seringkali mengajar aku erti duka dan tipu muslihat yang penuh dengan harapan. Aku masih tidak mampu keluar dari sangkar emas ini, yang kadang-kadang aku fikir sebagai kepompong sutera.
 
Apa yang aku dapat dari pengajaran minggu ini,
 
"Nak berjaya, mesti berasaskan usaha sendiri. Kene berani membuka langkah.."
..dan langkah aku masih lagi kaku..
 
p/s - aku tak mahu lagi ke kenduri kahwin anak kawan-kawan emak lagi.
.


Thursday, December 20, 2012

Genetik.

 
Dulu, aku pernah terbaca satu artikel ;
 
" Ayam datang dari telur, telur datang dari ayam. Yang mana satu datang dulu ?"
 
Aku mengaku, sampai ke hari ni aku tak beroleh jawapan. Ironinya, tiada pulak lah aku sibuk-sibuk nak bertanya pada sesiapa. Balik-balik bila aku fikir-fikir semula, kemudian tak dapat jawapan - aku alih fikir ke lain. Takut jugak nak fikir-fikir perkara di luar batasan macam ni. Takut sewel macam orang belajar ajaran sesat.
....
 
Aku datang dari emak. Kalau Emak takde - aku pun takde. Tapi kalau aku takde - emak mungkin masih ada.
 
Sejak aku belajar di maktab, emak melayan aku dengan cara beliau yang tersendiri. 'Totally different' kalau dibandingkan dengan cara asuhan beliau pada zaman aku kanak-kanak.
 
Bila menginjak ke usia dewasa. Setiap kali aku memandang wajah emak pada gambar, aku perhatikan banyak ciri-ciri emak ada pada aku. Dari raut wajah, gaya, minat dan bakat - kami memang saling tak tumpah. Genre muzik kesukaan juga sama. Bila emak sukakan sesuatu, secara tak langsung aku pun suka. Itu fitrah manusia ker kalau macam tu ??
 
Emak tak sudah-sudah cakap aku 'mat jiwa-jiwa', tapi aku selalu cakap dalam hati "emak cakap tak serupa bikin".
 
Menginjak usia dewasa, aku juga perhatikan.. cara emak dan aku apabila mengimbas sesuatu kenangan atau memori-memori yang lepas - adalah sama secara keseluruhan. Adik perempuan aku, makin usia meningkat, makin banyak bercerita sehinggakan kadang-kadang emak diam sahaja.
 
Berbeza dengan aku. Aku banyak mendengar emak bercerita tentang kisah yang lepas-lepas walaupun aku tak kenal siapa orang-orangnya yang terlibat. Aku mendengar dengan penuh minat dan mencelah sekali sekala menandakan aku suka mendengar.
 
Mungkin sebab itu Allah bagi emak anak lelaki seperti aku, dan anak perempuan seperti Adik Fatin.
 
Sikap aku ini, saling tak tumpah dengan sikap emak bila mendengar cerita uwan (nenek belah abah) bila bercerita. Emak selalu dengan wajah penuh minat bila mendengar walaupun aku tahu, bosan juga mendengar kisah yang berulang-ulang.
 
Kini, bila aku sudah bekerja, sikap aku kalau boleh nak sama juga dengan emak. Nak memewahkan emak dengan apa saja yang aku ada sebagaimana emak memewahkan arwah uwan Eno...
 
Cuma, bezanya, kalau bab-bab macam ni..  aku ada sikit-sikit terikut-ikut perangai abah. Nak bagi apa- apa kat orang tua mesti gelabah tak tentu arah tak menyempat-nyempat. Sampai tak perasan aku dah langgar 3 lampu isyarat sambil bawak moto handle dah gigil-gigil. Bonus kerajaan punya pasal. Huh !!
 
Nasib baik gen emak dominan, gen abah resesif dalam badan aku ni. Haha..
 
p/s - hadapi minggu yang panjang.
.


Wednesday, December 19, 2012

B.F.F.

 
 
 
Aku Ikhram, Dia Mardia @ Didie.
Masuk tahun ini, Persahabatan kami sudah menjangkau 7 tahun usianya. Banyak cerita, banyak liku dan banyak ragam berjaya kami kongsikan. Aku fikir, dalam ramai-ramai orang yang aku kenal, Didie adalah pemegang rahsia aku yang terbesar. Dan, kalau mati hidup semula pun, aku tetap mempercayai dia.


 
 
 
 
 

Aku selalu percaya, aku sebenarnya lebih sesuai berkawan baik dengan perempuan berbanding lelaki. Perempuan lebih memahami kehendak aku dan sanggup mendengar jalan cerita aku yang sangat panjang dan adakalanya membosankan.
 
Sepanjang usia persahabatan ini, jarang sekali nak berlaku pergaduhan memandangkan masing-masing lebih suka bersikap terbuka. Aku dengan cerita aku yang sanggup untuk dikongsikan dan dia dengan cerita dia yang selalunya menarik untuk didengar. Walaupun berkawan baik, namun kami bukanlah jenis yang suka berkepit. Berjumpa bila ada masa dan berbual bila ada bicara.
 
Berkawan baik bukan tertakluk kepada kawan baik itu sahaja, malah keluarganya juga. Keluarga Mardia yang baik hati dan pemurah sememangnya aku jadikan seperti keluarga sendiri. Kalau ada waktu terluang, emak Mardia yang akan aku cari. Emak Mardia dan aku selalunya kalau berdua pun 'menjadi', biarpun Mardia tiada. Begitu juga dengan kakak-kakaknya, anak-anak buahnya, ipar duainya, Mak Ngahnya dan sewaktu dengannya.
 
Kawan yang baik, bukanlah yang jenis memujuk bila kita menangis. Sebaliknya, seorang yang menasihati agar lebih kuat. Bila aku sedih, kemudian berjumpa dengan Mardia, hati aku seperti terisi - bagai tak percaya aku ketawa dan gembira semula.
 
Semasa sama-sama menuntut di maktab perguruan, kisah remaja kami seringkali jadi kenangan yang terindah. Sama-sama jenis 'budak rumah', bila balik ke kampung halaman, mesti nak punggah segala beg-beg yang sarat dengan baju dan barang-barang.
 
Sampai di Puduraya, masing-masing kendung beg tanpa mengira sapa empunya beg asalkan masing-masing angkat ikut kemampuan. Dari Puduraya sampai ke Pasar Seni - pernah sekali aku kendung dua luggage dan 5 beg lain. Salah satu luggage itu milik Mardia.. dan keadaan dia masa itu pun, teruk juga mengangkat. Hahaha...
 
Sejujurnya, bersama dia hati tidak pernah sedih.
 
Hari ini, kami bertemu, berbual-bual. Makan dan minum. Berkaraoke. Membeli itu dan ini. Itulah persamaannya dari dulu hinggalah masing-masing sudah bergelar pendidik. Sikap dia tidak pernah berubah walau sedikitpun. Hanya usia dan kematangan sahaja yang bertambah. Namun hilai tawa tetap serupa. Cerita kami makin banyak.
 
Dalam dunia ini, kalaulah sahabat itu boleh aku beli, dah lama aku beli. Tapi sahabat tidak ada yang dijual. Jadi apa yang boleh aku buat adalah - menghargainya sehingga mati.
 
Aku akur, aku sebenarnya tidaklah punya ramai sahabat. Tetapi aku bersyukur, antara sahabat yang tidak ramai itu, semuanya menyayangi aku.
 
p/s - Aku tidak bersedia untuk bercinta. Usia aku mentah lagi.
.



Monday, December 17, 2012

Selamat Hari Lahir Yang Ke 24

 
video
 
IKHRAM
Selamat Hari Lahir yang Ke-24 tahun.
 
Setiap kali melangkah ke bulan Disember, dalam fikiran aku tiada lain - Ulangtahun Kelahiran. Aku sangat teruja dengan bulan Disember. Bulan bongsu yang menjadikan aku seorang yang sangat kerdil, bebas dan happening.
 
Ulangtahun kelahiran tahun ini nampaknya tersama tarikh dengan majlis perkahwinan jiran depan rumah dan memang agak menjengkelkan. Hahaha.. Tapi tidaklah sampai mencacatkan keindahan ulangtahun itu sendiri.
 
Awalnyanya, aku sendiri berkira-kira juga. Mesti hari lahir tahun ni menyedihkan. Semua orang sibuk menguruskan gotong royong kenduri dan mesti semua lupa pada hari lahir aku. Aku pula jenis takkan menjaja-jaja hari lahir pada orang ramai. Sapa yang ingat, ingatlah.
 
Tapi sangkaan aku meleset sama sekali. Bangun jer pagi, terus bersiap ke kenduri. Sampai di khemah, Mak cik Ina awal-awal lagi dah ucapkan salam hari lahir dengan senyuman dan tawa yang ikhlas. Masa tu sungguh membahagiakan. Kemudian disambut dengan tepuk tangan dari jiran-jiran yang lain dan kini mereka pula bertukar ucapan dengan aku.
 
Dalam hati, aku panjatkan syukur. Jiran-jiran masih ingatkan hari lahir aku. Tak rugi sayangkan jiran-jiran tetangga. Sebab itu emak marah bila aku sibuk bekerja sambil tak pedulikan apa-apa. Tapi setakat ini,alhamdulillah.. aku masih lagi menjaga perhubungan yang baik dengan mereka.
 
Sambil-sambil membantu yang tak seberapa, aku ambil peluang berkaraoke. Masa tengah menyanyi datang lagi jiran nak bagi bunga sambil mengadu kat deejay, hari ni hari lahir aku. Penyudahnya satu kenduri tau, aku hari ini 'besday boy'. Aku malu tapi suka. Haha..
 
Masa deejay umum, semua orang tertumpu kepada aku. Hahaha..  Ada yang terjeritkan  nama aku, ada yang bertepuk tangan.. macam-macam. Boleh tahan juga kan hari lahir kali ni walaupun tak ada kek ?? Haha..
 
Emak dan abah pun tak kurang juga gimiknya. Tamat kenduri, masa mengemaskan barang-barang.. abah pula tiba-tiba mengucapkan ucapan selamat hari lahir dengan pelukan mesra. "Selamat Hari Lahir anakku yang ke-24". Semua orang pandang. Begitu juga dengan emak yang yang tiba-tiba menyanyi lagu 'Happy Birthday' sementara menunggu pizza masak.

Istimewanya, emak mencium pipi aku selepas lagu nyanyian beliau tamat. Terperanjat. Tak percaya. Omak Oh OMAK !!
 
Ulangtahun kelahiran tahun ini menyedarkan aku, bahawa kebahagiaan ada di mana-mana. Kadang-kadang bila aku tertumpu kepada sesuatu perkara sehinggakan aku menajdi sedih, walhal aku punya banyak sebab untuk merasa bahagia.
 
Apa yang pasti, keluarga sudah pastilah yang terpenting dalam hidup kita.
 
Cuma tahun ni aku nak tergelak juga. Ramai yang mengucapkan ucapan hari lahir dengan mesej yang begini - " Selamat Hari Lahir, semoga panjang umur, dimurahkan rezeki..
..dan dikurniakan jodoh yang baik.." 
 
 
Hahaha.... Terima kasih kepada semua yang sudi mengucapkan ucapan hari lahir dan yang menghargai diri ini...
 
 
 
 
 
 
 
 
p/s - Walaupun umur sudah 24, tapi  bila gembira mengarang ayat mesti dah macam budak umur 16 tahun. Sama saling tak tumpah. Apa la nak jadi kan...????
 .

Friday, December 14, 2012

Berkumuh.

 
 
Masa awal-awal tahun dahulu, kalau mengajar Sains untuk budak-budak darjah 6 macam Naim dan Nasrul, aku suka ajar subjek ini dari pelajaran Tahun Empat. Bagi aku, nak ajar hebat-hebat setara mana pun, kalau asasnya tak dikuasai, tiada gunanya juga.
 
Jadi tajuk pembelajaran kami pada petang itu - Sistem Perkumuhan. Definisi ringkas Sistem Perkumuhan ialah proses penyingkiran bahan-bahan buangan yang tidak diperlukan oleh badan. Terdapat 3 organ yang terlibat iaitu peparu, buah pinggang dan kulit.
 
Masih lagi segar dalam ingatan aku bagaimana terkulat-kulatnya muka si Nasrul bila aku menyebut ginjal bagi menggantikan perkataan buah pinggang.
 
Aku terangkan bahan-bahan buangan yang disingkirkan melalui kulit adalah peluh. Tetiba Naim bertanyakan aku.
 
" Kalau air mata, sir ?? "
" Air mata bukanlah Naim.." Naim muncungkan bibir tanda akur.
 


Hipotesisnya , jikalau air mata adalah satu bentuk hasil perkumuhan, laratkah ke kita mengeluarkan air mata sama seperti peluh yang mengalir keluar pada setiap hari..??
Sudah pasti, TIDAK.
 
Tapi, kalaulah sekarang ini, dan pada waktu ini Naim mengajukan semula contohnya tadi. Aku sudah pasti akan menjawab begini..


" Air mata bukanlah hasil perkumuhan yang disingkirkan dari badan sebaliknya hanyalah pengaliran perasaan yang selama ini telah dipendam,"
..
 
Namun adakalanya, cakap naim itu ada juga betulnya. Sebabnya, sejak kebelakangan ini, peluh selalu tidak keluar pada waktu malam, jadi aku selalu mengambil alternatif berkumuh dengan menyingkirkan air mata. Mengapa masin lebihan mineral ini tidak sepahit rasa hempedu di dalam hati..?
 
Jawapannya ; kerana ada RINDU dan JARAK .
 
Sekuat mana pun seseorang itu, dia tetap akan mengalirkan air mata apabila diuji oleh Allah tentang perasaan dan orang yang mereka sayang.
 
p/s - kisah sains fiksyen ini penuh dengan perasaan. Siapa yang tidak faham boleh angkat tangan..??

Sunday, December 9, 2012

Buku & Sandwich.

 
 
 
 
 
 
 
 
Kecintaan aku pada buku memang tidak pernah berubah sejak usia kecil. Aku rasa sampai bila-bila pun takkan pernah berubah.
 
Hari ini, seorang kenalan membawa aku keluar - ke Pesta Buku yang pertama untuk aku. Di pasaraya The Mines. Pesta buku yang menempatkan hampir lebih 3 juta buah buku ini benar-benar mengejutkan. ( serta; memeningkan kepala ).
 
Bergelumang dengan ribuan orang yang rakus mencari buku, kemudian meneliti satu-satu buku yang disusun secara menegak sudah pasti mendatangkan sakit kepala. Nampaknya pengalaman pertama ke Pesta Buku tidak begitu baik.
 
Walaubagaimanapun, tawaran harga buku yang tersangat murah mampu mengugat kewarasan pecinta buku. Bagi sesiapa yang memang menjadikan buku sebagai koleksi, inilah masanya yang paling tepat. Dengan harga serendah RM8 untuk sebuah novel, dan tidak ada harga buku semahal RM40, sudah pasti berbaloi.
 
Pening dengan suasana yang riuh, berserta perut yang lapar dan kepala yang berpusing, tidak banyak pilihan yang dapat aku buat. Kebanyakan buku bukanlah bacaan yang aku cari. Jadi aku memilih 3 buah buku yang aku rasakan sesuai. Membeli dengan niat tidak bersungguh-sungguh untuk membaca juga adalah tabiat yang tidak baik.
 
Tidak baik tamak pada diri sendiri. Itu pembaziran.
 
Akhirnya yang paling seronok adalah makanan. Makan sandwich yang panjang hari ini adalah sangat mengenyangkan dan mengembirakan. Itulah klimaks kepada aktiviti hari ini. Alhamdulillah.
 
p/s - Rasa berdosa bila mak masak dan aku tidak menjamahnya. Jom kita ke dapur.
.