I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, April 21, 2014

Ketentuan



Apa yang kita rancang, semuanya telah pun dirancang. Lari jauh beribu batu, kalau yang ditentukan ada di depan mata, di depan mata juga akhirnya. Bukan mudah merancang hidup. Selalunya, aku biarkan segala harapan dan impian menerawang dalam angkasa. 
Alasan; malas nak membebankan kepala. 

Apapun, segalanya sudah tertulis. Kita sebagai hamba, berdoa dan berharap yang baik-baik sahaja. Amin.

p/s - selalu banyakkan bersabar.
.

Wednesday, February 19, 2014

Yeah !!







2014

Tahun 2014 merupakan tahun peperangan minda bagi aku. Menjengah ke tahun ketiga sebagai guru, memberi sedikit sebanyak kesedaran bahawa dunia pekerjaan sebenarnya terpaksa mengharungi onak dan duri yang tiada henti.

Sebagai seorang guru muda, persepsi 'anak mentah' sudah pasti menimbulkan rasa tidak sedap pada aku. Setiap kelemahan menjadikan aku lebih bermatlamat pada masa ini. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, azam tahun baru hanya nampak indah pada kertas. Tahun ini, setiap cita-cita yang aku catatkan lebih rasional dan mampu dilaksanakan.

Betullah kata prof dr muhaya, kita lebih suka berazam menggunakan minda sedar yang menjanakan akal untuk merealisasikan azam yang tampak gah namun sukar dicapai.

Jadi setakat dua bulan terawal tahun ini, banyak juga azam aku dilaksanakan dengan lancar. Seperti mengurangkan makanan segera, banyakkan makan buah-buahan, bersenam, semua jadual hidup dipatuhi dengan berdisiplin dan cuba menyiapkan kerja-kerja tanpa bertangguh.

Cabaran dari persepsi orang tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menguatkan.

p/s - keluar bermesyuarat menjadikan aku bebas.
.

Tuesday, November 5, 2013

Philips.


" Perasan tak? saya dah ada kawan baru.. Kulit dia hitam.. nama dia PHILIPS.. Dia sedang menyanyikan lagu 'Terukir Di Bintang' by Yuna. Suara mereka seseolah sama. Dialah teman saya kini. Saya sayangkan dia "

p/s - Tak sangka aku jadi begini.
.

Wednesday, October 30, 2013

Tanjung.










Mengatasi kerinduan, 
ternyata amat sukar.
Melupakannya, memeritkan
Memikirkan, menyerabutkan

Masa mungkin ubat kepada segala-galanya.

p/s - berbakti kepada nusa bangsa, memberi peluang melihat dunia luar.
.

Sunday, October 20, 2013

Seni Kulinari






Saya akui, sejak bekerja di sekolah ini, saya menjadi seorang yang berisi dan semakin mampat. Dulu, semasa mula-mula melaporkan diri, berat saya adalah 68 kilogram. Kini berat itu bertambah menjadi genap 80 kilogram. Perkara seperti ini, tidak perlu dihairankan, kerana setiap masa hati saya senang dan alasan ini harus diterima oleh semua pihak. Hehehe...

Bila bercakap tentang Latihan Dalam Perkhidmatan, semua orang akan berfikir tentang taklimat, ceramah, seminar. Semua itu mendatangkan tekanan yang bukan-bukan di benak semua orang. Tetapi di sekolah saya adalah sebaliknya. Semua aktiviti adalah berkepelbagaian dan telatah semua guru-guru menjadikan sesuatu yang rutin menjadi lebih seronok dan santai.

Seperti tahun-tahun lepas, aktiviti seni kulinari adalah menjadi kegemaran semua orang. Walaupun proses persiapannya leceh tapi atas dasar keseronokan semuanya nampak indah. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Elok sangat la bidalan ini.

Jadi, tidak hairanlah kalau saya semakin membesar. Dari bekerja, balik rumah dan hujung minggu - tabiatnya seringkali berkaitan dengan masakan dan makanan.Nasib baik saya tidak pandai memasak. Kalau tidak, mesti lagi pesat tumbesaran.

Terima kasih skpk seremban
Semuanya nampak indah-indah belaka. Kini saya dah memperoleh resepi baru. Dapat tambah ilmu, dapat tambah pengalaman dan dapat tambah kawan.

p/s - meroyan-royan di laman media bukan cara saya. kita berpelajaran, tunjukkanlah sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan taraf pendidikan kita.
.

Wednesday, October 16, 2013

Salam Aidiladha






Tiada kata secantik bahasa
Tiada budi secantik ukhuwah.
Sebaik-baik pengorbanan adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

p/s - feeling great today.
.

Sunday, October 13, 2013

G.R.A.V.I.T.Y.




 Sejak kebelakangan ini, aku jarang sekali menonton wayang. Tapi ada satu hari aku terpandangkan poster filem GRAVITY. Pada poster itu aku dapat rasakan yang aku harus menonton filem ini. Secara peribadi aku bukanlah seorang yang logikal-matematikal, namun sains fiksyen adalah kegemaran aku, terutama bab-bab solar system. Tidak kiralah filem mahupun bahan bacaan. Jadi aku tunggu saja tarikh tayangannya. Namun, kesempatan menonton tiba setelah aku pulang dari mesyuarat di Temerloh.

Menonton dengan adik bongsu yang juga berminat dengan sains fiksyen, memang tidak memberi banyak masalah. Tak sudah-sudah kami terangguk-angguk sesama sendiri bersetuju untuk mengatakan filem ini adalah sangat menarik. 

Menonton filem ini, benar-benar meletakkan anda sebagai seorang angkasawan. Panorama yang dibentangkan dalam tayangan menjadikan ruang diseluruh bilik pawagam bagai benar-benar di angkasa. Aku sendiri terasa bagaikan terapung di ruang vakum sepanjang tayangan filem ini. Hiperbola disitu. Memang filem ini memberi gambaran yang jelas bagaimana kehidupan seharian sekiranya kita berada di angkasa lepas. Melihat matahari terbit dari angkasa lepas memang mengagumkan. Subhanallah.

 Ada banyak plot dalam filem ini yang membuatkan aku sentiasa berfikir-fikir dan terus berfikir. Sebenarnya, dalam keadaan terdesak untuk hidup, kita akan buat apa saja. Pada masa itu tiada lain yang kita fikir melainkan, "bagaimana kita mahu lari dari masalah dan terus kekal hidup..?" Aku percaya, dalam setiap kekusutan itu, pasti akan ada jalan penyelesaian yang tersembunyi dan kita perlu mencarinya. 

Sikap putus asa tidak membawa kita kemana-mana. Menyerah diri dan berserah hanya menjadikan kita seorang yang lemah dan rugi. Hidup hanya sekali namun mengetahui kita menyerahkan hidup untuk beberapa saat adalah perkara yang terburuk. Watak Stone mengajar aku akan perlunya kita berusaha untuk hidup. Ada satu ketika dalam hidup, kita terpaksa bersendiri melalui waktu getir dan pada masa itu menyerah diri tidak mampu menyelesaikan apa-apa melainkan meranapkan apa yang kita ada.

Aku suka watak Kowalski. Positif. Humor. Aku pasti ramai orang suka berdampingan dengan individu seperti ini walaupun adakala merimaskan. Ketiadaan individu seperti ini pasti dirasakan oleh sekeliling. Mulai hari ini, nak jadi seperti watak Kowalski; tak banyak, sikit pun jadilah.

Secara peribadi ada banyak perkara yang lain lagi dalam filem ini yang menjadi buah fikiran. Nak hidup bukannya mudah. Kita mungkin jarang memikirkan soal hidup kerana kita belum pernah diuji dengan kepayahan dan kesukaran untuk hidup. Jikalau aku sendiri ditempat Stone, mungkin aku sudah mati awal-awal lagi.

tapi bila aku fikir tiga minit kemudian...  mungkin tidak juga. 
Mungkin aku pun akan hidup seperti Stone dan kembali ke Bumi; kerana dalam keadaan terdesak untuk hidup sudah pasti aku juga akan melakukan apa saja. 

p/s - Sejak menaiki roller coaster beberapa bulan yang lepas, penyakit fobia akan ketinggian aku makin menjadi-jadi dan kian parah. Jadi hasrat untuk ke angkasa lepas terpaksa aku lupakan terus.

Thursday, October 10, 2013

Madam Pensyarah.


Kita takkan pernah mampu melupakan seseorang yang pernah melakukan kebaikan kepada kita. Apatah lagi mereka yang banyak berjasa sehingga menjadikan kita berjaya.

Seseorang guru yang hebat sudah pasti bukan hanya berjaya mendidik dan mengajar.. tetapi mampu menjadikan diri mereka sebagai inpirasi di dalam hidup setiap anak didiknya.

Pn. Noorhalizah.
Dia seorang pensyarah saya yang sangat baik. Kebaikannya mempengaruhi kami sekelas. Dia seorang yang penyayang, bermurah hati, selalu manis dengan senyuman.
Selalu menyediakan telinga untuk mendengar kami dengan baik. Setiap kali di akhir bicara, dia sulami dengan kata-kata hikmah yang boleh melapangkan jiwa, membuka minda dan menggembirakan hati.

Aku rindu kebaikan dia. Aku rindukan ilmunya.
 Bagi aku, dia selalu guru yang hebat yang pernah aku ada.

Bila terlihat tulisannya seperti di atas, aku sedar walauapapun yang terjadi ada insan yang pernah menghargai diri aku.

Terima kasih Puan Noorhalizah kerana sentiasa menjadi pensyarah, guru, tutor peribadi,supervisor, kawan yang terbaik. Always miss you.

p/s - perkara macam ni memang touching. Sekarang aku adalah anak murid yang sangat sensitif. Menangis.
.

Monday, October 7, 2013

Malam Jingga.








Tiada sebarang masalah yang tiada penyelesaiannya. Tiada sebarang kesedihan yang tiada penawarnya. Tiada sebarang dosa yang tiada keampunannya. 

Reset minda - esok aku mahu menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan dengan menghargai diri sendiri dan orang lain.

Malam semakin larut. Cahaya jingga tetap kelam dengan masa. Aku tetap bahagia disimbahi malam jingga. Menonton setiap kenangan yang berlalu sambil berharap akan masa depan yang aku rancang, menjadi kenyataan.

p/s - esok meeting di Temerloh. Bertemankan individu yang tidak aku senangi sepanjang perjalanan. Harap yang baik-baik sahaja. Positif. Insyallah. Amin.
.

Saturday, October 5, 2013

Hala.


Apakah yang paling jauh ?
Masa silam.
Bermenung berhari-hari mengingatkan kenangan dulu, 
takkan pernah membenarkan kita menjejakinya.
p/s - no ideas.
.

Monday, September 30, 2013

Kritikan.



Dari aku mula-mula bersekolah dahulu, sehingga kini, jadual hidup aku selalunya sama. Aku tak mampu untuk mengelak diri dari memikirkan betapa adakalanya rutin yg aku lalui sangat membosankan. Perasaan itu tidaklah tiba setiap hari, namun muncul pada hari-hari tertentu. Dan ia sangat membebankan.

Menjadi tenaga pengajar yang sentiasa dikawal selia - sangat bercanggah dengan peribadi aku yang inginkan kebebasan. Aku di tempat kerja bukanlah seorang yang mesra ketua. Namun itu tidaklah menjadikan aku seorang pekerja yang tidak patuh. Begitu juga aku tatkala menjadi seorang pelajar. Merapatkan diri dengan guru yang popular, bukanlah kegemaran aku. Melainkan sekiranya aku rapat dengan guru bahasa Melayu. Itu adalah kerana aku cintakan subjek itu dan selalunya ia berlaku secara fitrah.

Cikgu bahasa lebih lembut hatinya. Kalau mereka garang, selalunya lebih kepada mendidik.

Hari ini, lewat petang aku tinggalkan perkarangan sekolah. Selesaikan kerja yang tertunggak yang dulu-dulu. Kerja yang terlalu lama aku abaikan. Sikap tidak mahu memberatkan fikiran sentiasa menjadikan nasib tidak menyebelahi aku. 

Tapi tidak mengapa. Dalam hati aku selalu bisikkan..
" Ikhram, walau apapun pandangan orang terhadap kita, pandangan diri kita terhadap diri kita sendiri itu harus didengari dahulu.. "
p/s - emo sebab nama naik masa mesyuarat petang tadi..
.

Wednesday, September 25, 2013

Privaci


Dari perspektif aku, kerap kali aku menganggap manusia sekeliling adalah lebih besar susuk tubuhnya dari aku. Namun bila aku bandingkan aku dengan mereka di dalam setiap foto yang ditangkap, ternyata aku lah gergasi yang selalunya lebih tinggi daripada mereka semua. 
Tersiratnya, aku selalu memandang diri aku kerdil walhal aku juga punya potensi yang tersendiri yang mungkin tidak ada pada mereka yang lain.

Atas sikap aku yang sebegitu, aku selalu menyimpan saja kebolehan yang ada. Sebab aku percaya, bila diperlukan nanti, potensi diri aku akan keluar juga. Itu lebih baik kan...??? Hahaha... 

Di sekolah kini, aku sudah mempunyai meja aku sendiri. Biarpun kecil dari meja-meja guru yang lain, tapi aku rasa selesa dan seronok. Kedudukannya memberikan aku satu privasi yang tiada tolok bandingan rasanya berbanding sebelum ini. Aku percaya, dengan adanya ruangan sendiri ini, aku dapat memberikan tumpuan yang lebih dalam melakukan pekerjaan aku. 

Ada bahagian notice board sendiri sekarang. Bolehlah aku curahkan hasil keringat yang penuh coretan manis di situ nanti. Yang pasti gambar keluarga dan kenangan bersama kawan-kawan akan aku titipkan di meja. Bila tertekan, itu semua boleh jadi terapi. Pada masa inilah harus aku tonjolkan kecerdasan yang aku ada.. Will see..??

p/s - hari Rabu adalah hari gaji.
.

Monday, September 23, 2013

Avillion
















Sekarang ini untuk aku adalah musim keluar berkursus. Jalan ke sana, jalan ke sini. Makan yang sedap-sedap saja. Perut pun sudah maju ke hadapan. Apapun aku bersyukur, sekurang-kurangnya kehadiran aku dalam bidang yang diceburi kini disedari oleh pihak-pihak tertentu. Aku percaya, setiap individu mempunyai potensi dan kercerdasan mereka tersendiri. Siapa sangka dunia aku yang asing dahulu, kini berjaya aku terokai.

Baiklah. Keluar berkursus bagi aku ada ketikanya adalah satu jalan pintas untuk melarikan diri seketika dari rutin aku sehari-hari. Ada kala berada dalam lingkungan hidup yang 'beku' menjadikan aku bosan. Aku lelaki yang mahukan kebebasan. Adakala berada di bangunan kerja menjadikan pemikiran aku terhad dan terbatas.

Sebenarnya aku sukakan kreativiti. Aku percaya, aku seorang yang sangat kreatif dan berdaya maju. Aku punya perspektif aku sendiri dalam melahirkan idea yang asli dan unik. Semua itu akan berguna tatkala aku keluar berkursus.

Rutin - adakala mengehadkan kemampuan aku.
Aku tahu siapa aku. Aku tahu mengawal apa sahaja yang ada disekelilingi aku. Oleh itu, aku amat bencikan kuasa veto yang menghalang aku dari terus berfikir.

Ramai orang selalu beranggapan - semua orang adalah sama. Sebenarnya tidak. Semua orang mempunyai karakter dan kecerdasan yang tersendiri dan berlainan.

Pensyarah, guru-guru, ustazah, kawan-kawan, emak selalu mengatakan aku seorang yang kreatif. Aku punyai idea dan aku mampu mengolahnya. Kekurangan pada aku - aku tidak teliti.

Kepada mereka di atas - jangan hadkan kemampuan aku.

p/s - aku suka melakar waktu.