I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, March 26, 2013

Sifir Sifar

 
 
" Kau fikir kau siapa, cinta ini kau buang saja
ku tak perlukan memori
dan kau tak perlu kembali
kau fikir ku apa
siang malam kau yang punya
kau datang dan pergi
kau buat aku begini... "
 
Bila aku dengar lagu ini, aku selalu memikirkan Yuna nyanyikan lagu ini untuk Que. Mungkin kesibukan dan komitmen kerjaya adakala menjauhkan sesuatu perhubungan. Tapi dari perspektif aku; berlainan pula.
 
Adakala lelaki memikirkan banyak perkara sebelum membuat dan memilih keputusan. Namun kesilapan yang selalu terjadi, lelaki memikirkan semua itu selepas membuat keputusan. Sebagai seorang lelaki, aku juga selalu menghadapinya dan kini berusaha untuk mengelakkan. Kiranya, aku masih lagi seorang yang bertimbang rasa.
 
Kebelakangan ini, aku mendapati kehidupan aku tidak berapa memberansangkan. Dalam apa-apa yang aku buat, sukar untuk aku meraih semangat. Dalam meniti kehidupan, aku selalu percaya, berdampingan dengan orang yang kita sayang dan menyayangi kita mempunyai satu kuasa yang kuat.
 
Seharian kadang-kadang bermenung. Memikirkan siapa-siapa yang berdekatan sesuai untuk didampingi. Yang boleh dihabiskan masa bersama. Berpillow talk bersama. Namun yang dekat tiada, semuanya jauh-jauh belaka. Aku masih tetap lagi dengan imbasan kehidupan yang lepas-lepas. Rindu yang tak berkesudahan.
 
Kadang-kadang terlampau memikirkan manusia. Aku terlupa yang memberikan ketenangan pada jiwa adalah Allah Yang Maha Esa. Aku selalu teringat iklan di televisyen - "Nak bertaubat pun mesti ada ilmu". Adakala semua ini terjadi, mungkin kerana diri ini terlalu jauh dariNya. Mungkin ibadat selama ini tidak cukup ataupun.. mungkin berkira masa berdamping dengan Dia. Tuntutan komitmen memang menggila.
 
... namun kaki masih berjalan. Kalau terhenti pun, masa masih terus juga berlalu. Mensyukuri nikmat yang Allah beri lebih baik dari mempertikaikannya.
 
Sedang mata ke hulu hilir meneliti laman facebook, hati berbaur-baur rasa. Gembira dengan perkhabaran rakan sekuliah yang meniti dunia rumahtangga, rakan sebilik dengan resepsi perkahwinannya, rakan bujang yang gila percutiannya.
 
.. dan aku, dengan ruang kamar kecil ini. Tapi aku masih lagi bersyukur. kerana mendapat tempat di buminya yang bertuah ini.
 
p/s - nak cari semangat. ke gua.
 

Tuesday, March 5, 2013

Di Sebalik Rasa Rindu Itu

 
 
Dari pagi semalam, aku ditanya bertubi-tubi oleh Nadarajah dan Nasrul, bila tikanya aku akan masuk ke kelas mereka..?
 
Hari ini, bila aku melangkah masuk ke kelas mereka. Aku terpandangkan papan putih kelas mereka. Aku sendiri terperanjat. Aku terdiam. Akhirnya aku tersenyum.. Aku ketawa memandang Nadarajah, Nasrul dan Adam.
 
" Saya rindu cikgu ikram "
Adam, Nasrul dan Nada
 
Adakala umpan kanak-kanak seperti mereka, benar-benar 'mengena' untuk mangsa seperti aku. Aku terharu. Dari sudut hati yang paling dalam, jiwa aku tersentuh.
 
Perkataan 'rindu' itu bukan mudah dilafazkan oleh kanak-kanak. Aku tidak pernah menyangka, ketidakhadiran aku benar-benar memberi kesan kepada mereka. Selama ini, bila mereka mengadu dan merayu aku untuk mengajar mereka sains, aku menerimanya seperti biasa. Bagi aku tiada apa yang luarbiasa. Sehinggalah mereka menulis perasaan mereka pagi tadi dan aku merasakan mereka benar-benar memaksudkannya.
 
Umpan mereka seumpama umpan berupa ' ikan kecil bersalut emas' yang sangat memotivasikan. Sebagai seorang guru tiada hadiah yang lebih memberi makna selain penghargaan dari anak-anak didiknya dengan penuh keikhlasan.
 
Jujurnya, dalam hati aku merintih sendiri. Sebagaimana aku menyayangi mereka, satu hari nanti mereka pasti meninggalkan aku. Pada masa itu, perasaan ini memang sukar unutk diubati. Namun lumrah seorang guru, dalam hati aku berjanji akan berusaha sepenuhnya agar mereka keluar nanti dengan kejayaan tersedia di bahu mereka.
 
Sebelum balik, mereka memberi salam untuk pulang. Aku memeluk mereka seorang demi seorang. Dan kali ini mereka bertanya sama ada aku akan hadir mengajar mereka pada hari Khamis nanti.
 
Aku angguk.
 
Kasih sayang adalah satu bentuk kuasa yang kuat. Terima kasih Nadarajah, Nasrullah dan Adam untuk hadiah sebegini hebat. Dari lubuk hati yang paling dalam, Cikgu teramat-amat menyayangi kamu semua.
 
 
 
 
 
 
 
p/s - rasa nak menangis melihat Naim dan Nasrul mengambil hadiah di atas pentas. Cikgu bangga dengan kamu semua, wahai anak-anak cikgu. Jangan lupakan cikgu yer..
..