I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, February 19, 2013

Kesunyian

 
 
Baru sebentar tadi aku dimarahi emak. Aku dileteri habis-habisan olehnya, sedang mulut aku terkunci rapat. Emak begitu marah, bila aku sampai ke rumah pada jam 12.30 tengah malam. Ini adalah rekod paling lewat aku pulang dari keluar malam.
 
Melewati usia 25 tahun ini, tiada apa yang boleh aku rasakan kepuasan. Habis tamat pengajian, kehidupan aku bagaikan diatur-atur. Semua perkara, bukan aku yang putuskan. Kesannya, aku sendiri tidak yakin dengan diri aku sendiri. Semua kesilapan itu tidak boleh aku letakkan pada bahu orang lain. Sebaliknya terpaksa aku hempukkan atas kepala sendiri.
 
Tak adil. Takkan pihak aku sahaja yang salah.
 
Sejak aku sudah sedikit mahir memandu kereta, aktiviti memandu sambil memdengarkan lagu-lagu yang aku minat dari cakera padat yang aku beli - memang mengurangkan tekanan. Aku rasa semua perkara seperti ini adalah terapi. Terapi jiwa.
 
Jadi malam tadi, aku keluar dari rumah. Aku mendapati, aku perlukan nafas pada iklim lain yang jauh dari bilik dan rumah unutk kali ini. Jadi aku memohon izin memandu ke asrama dengan alasan ingin mengambil barang yang tertinggal. Walhal sebenarnya aku ingin menghabiskan masa melihat anak-anak di asrama.
 
Setelah semua anak-anak ini tidur, aku dapati aku masih tidak mahu pulang ke rumah. Semasa memandu pulang, aku dapati jalan raya lengang. Aku memandu dengan lagak seperti juara pemandu formula one. Lagu-lagu agnes monica sememangnya memahami perasaan kesunyian yang aku alami. Jadi, langkah seterusnya adalah pemanduan yang tiada hala tuju yang jelas.
 
Aku dapati malam sudah semakin larut. Aku berhenti memarkir kereta di pusat membeli belah yang lapang tiada kereta. Lagu ' Tanpa Kekasihku' dendangan agnes monica memang memilukan hati. Aku diam-diam sahaja di dalam kereta.sambil menutup mata. Aku biarkan lagu ini berputar berulang-ulang kali. Itulah obsesi aku.
 
Setelah timbul kerisauan dalam benak. Aku bergerak pulang. Aku cukup yakin, aku akan dimarahi. Emak dan abah pasti sudah menunggu. Aku nekad untuk berdiam apabila menghadapi mereka. Seusia 25 tahun dan sebagai seorang lelaki, aku masih tidak mampu menjalani kehidupan yang aku mahukan. Ini tidak adil.
 
Sekarang, aku di dalam bilik. Perkataan yang keluar dari mulut emak tadi, memang sudah aku jangkakan.. Setelah tiada respon dari aku, mereka memutuskan beredar ke bilik masing-masing. Mereka marah kerana aku sudah menyusahkan hati mereka. Menjeruk jiwa mereka. Mungkin kesalahan besar aku lewat pulang ke rumah.
 
Kini, aku terasa sunyi. Tiada kawan. Tiada saudara. Tiada yang memahami. Aku tidak tahu meluahkan kerisauan ini kepada siapa. Aku telefon Ajiey, kawan aku yang gila-gila - namun telefonnya tidak berjawab. Aku menghubungi Fier , kawan yang sangat menghiburkan hati - hanya voice mesej yang bersuara; line slow. Dia di kampung, mc seminggu.  Aku mahu menghubungi Ajiem, kawan yang menenangkan - dari suaranya aku tahu dia sedang menahan ngantuk. Nak telefon fikri, sahabat dunia akhirat - tak mungkin; dia sudah berkeluarga.
 
Aku memandang senarai nama yang ada di dalam smart phone. Aku tutup kembali. Kini aku sedar, aku tidak mempunyai sesiapa kini, melainkan lagu-lagu dendangan agnes monica yang sangat memahami.
 
Aku tak faham, kenapa dalam usia 25 tahun ini, semuanya mesti diatur sama seperti tahun-tahun yang lepas. Sampaikan aku sendiri takut kepada peraturan-peraturan.
 
Memegang status anak bujang yang baik dibawah lindungan keluarga - ada masanya sangat membebankan.
 
Aku pendamkan sahaja kerisauan hati. Kesunyian bermaharajalela di dalam bilik ini menantikan tangisan yang tidak kunjung tiba.
 
Tak sangka jiwa memberontak dalam diam. Namun wajah manis seorang anak bujang yang baik menutupi segalanya. Kini aku benci takdir yang menimpa aku.
 
Tutup lampu, Pasang lampu tidur. Kemas katil. Berhasrat memejamkan mata.
 
p/s - Aku perlukan bahu kamu. Aku mahu menumpang sekejap cuma. Ada yang sudi.
.


Tuesday, February 12, 2013

Innocent Soul.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 
Ada satu hari, aku masuk ke kelas CP4. Aku sudah bersedia untuk mengajar tajuk "Human Living Processes - Excretion & Defacation". Antara dalam banyak-banyak kelas, kelas ini memang menunjukkan perkembangan pembelajaran yang sangat baik.
 
Bila aku masuk saja, ketiga-tiga murid dah melonjak-lonjak. Nama aku diseru-seru beberapa kali. Kepala yang berat, hati yang berat, semuanya menjadi ringan. Aku percaya, mana-mana guru sudah pasti akan memahami apa yang aku rasa. Mereka bangun dan mengucapkan salam.
 
Belum sempat aku duduk, Nadarajah mula bersuara.
 
"Sir Ikhram, sebelum sir masuk..  saya, Adam dan Nasrullah sudah berdoa. Kami semua mahu sir ikut kami semua ke sekolah menengah Setapak. Kami mahu sir ajar kami sains sampai kami semua pandai.. "
 
"Betul sir.. kami tak boleh la, kalau sir tak de.." Adam menokok tambah.
Nasrullah pula hanya mengangguk-angguk. Dia aku lihat sudah mula mampu menyesuaikan diri dengan kelas dan persekitaran sekolah sejak awal tahun mula belajar di sini
 
Aku hanya tersenyum dan membalas. " Kamu semua ni.. sir belum mengajar lagi..  Nak buat sir menangis yer ??.. nanti kalau sir nangis, sapa nak pujuk..?? "
 
Aku sambung.
 
".. Mana boleh... Kalau sir ikut kamu semua, sapa nak ajar adik-adik kamu semua ni. Insyaallah, kat sekolah menengah nanti, akan ada cikgu yang lebih baik dari sir akan menjaga kamu semua. Percayalah.. Semua cikgu sama. Semuanya sayangkan kamu..."
 
Kadang-kadang aku bersyukur mengajar anak-anak khas yang sungguh istimewa pada pandangan mata aku. Beberapa minggu lepas, aku ada turut serta pertemuan semula bersama kawan-kawan di maktab dulu. Bila mereka bercerita tentang sekolah dan anak murid mereka, aku tak sudah-sudah mengucap syukur.
 
Macam-macam kes yang perlu mereka hadapi sehinggakan ada yang sudah mula jemu dan bosan untuk mengajar ke sekolah. Sedangkan aku, setiap hari tidak sabar-sabar untuk ke sekolah. Memikirkan kebiasaan disambut anak murid apabila tiba di pagar sekolah. Biarpun dihadiahkan dengan ungkapan selamat dengan bahasa isyarat yang tidak mampu didengar, namun semuanya nampak ikhlas.
 
Bukan tidak ada cabaran, banyak sebenarnya. Adakala mahu mengajar satu dua perkara saja, tapi makan berhari-hari lamanya untuk mereka hadamkan. Ada masa, sampai ke sudah tak faham-faham. Tapi itulah asam garamnya.
 
Itu belum dengan menghadapi murid yang menghadapi kecacatan pelbagai - dengar tak boleh, lihat tak boleh, fikir tak boleh..
 
Namun aku tetap berharap dan berdoa, supaya dibuang jauh-jauh sikap jemu, malas dan amarah. Biarkanlah dipermudah jalan untuk aku terus berbakti kepada mereka, kerana
merekalah kekuatan untuk aku terus berdiri dalam industri ini.
 
 
Terima Kasih anak didik cikgu semua.
 
p/s - lama sudah tak jenguk ke dunia maya ini. Maaf.
.