I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, November 30, 2012

Jauh

 
 
 
 
Pernah rindu sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi ??
 
Aku sendiri pernah baru-baru ini. Kelmarin selepas asar, aku tertidur memandangkan cuaca mendung di luar sana. aku rasa sangat terlena dan tidur aku menjadi sangat nyenyak pada petang itu. Sehinggakan apabila tersedar, dada aku menjadi sesak dan berat. Semput sekali-sekala. Petang itu, aku berasa sangat asing dan menjadi terlalu rindu. Rindu kepada anak-anak didik peneman hati.
 
Lepas maghrib aku telefon sorang demi sorang. Tapi yang paling syahdunya bila aku menelefon Adam. Murid aku yang berusia 10 tahun dan mengalami masalah penglihatan.
 
"Salam.. Adam yer ?"
"Yer.. ni sir ikhram yer..??"
- " yer.."
" Sir.. Saya rindukan Naim. Sejak 9 November yang lepas, saya dah tak bercakap dengan Naim. Saya rindu Naim. Naimlah segala-galanya bagi saya. Sir ada bercakap tak dengan dia. Kenapa dia tak telefon saya..,"
 
Adam bercakap terus-terusan tanpa berhenti. Dari suara dia, aku tau dia sedang memendam perasaan sedih. Rindu seorang kanak-kanak sudah pasti tidak sama dengan  rindu seorang dewasa seperti aku.
 
Aku jadi kehilangan kata-kata. Otak aku ligat memikirkan bagaimana cara untuk memujuk Adam. Aku tahu semua orang sayangkan Naim. Aku pun sama. Aku lagi sayangkan Naim. Tapi aku sedar, Naim selalu menjaga Adam. Aku alihkan ingatan Adam dengan soalan-soalan lain.
 
" Adam kat mana sekarang ni ?"
" umah tok kat sabak bernam.."
 
"Adam dah makan ke belum ?"
".. dah"
" Makan apa ? "
" Nasi goreng.. "
 
" Adam ada tak baca buku sains masa cuti ni.."
" Macam mana nak baca.. buku teks ada kat kelas.. "
" Lupa pulak sir, buku teks kamu braille"
 
" Sir, ada call Naim ?"
" ada.. kenapa Adam ?"
" Kalau sir call Naim, suruh dia call saya. Saya rindu kat Naim. Dialah segala-galanya,"
" Iya la, nanti sir suruh Naim call Adam yer ?"
 
Selepas itu mood berbual aku bagaikan hilang. Dulu aku rasa aku mampu membahagiakan anak-anak murid aku. Ternyata tak semua perkara mampu aku berikan pada mereka. Aku berasa sepi seketika. Sedih. Terkilan.
.....
 
Malam itu. Aku perhatikan setiap ruang pada dinding bilik. Penuh dengan ingatan terhadap orang-orang yang aku rindukan. Tanpa aku sedar.. malam itu aku curi-curi tidur di bilik tetamu yang tidak berpenghuni. Di sini aku pekup muka pada bantal. Aku mahu lelap. Di bilik ini tiada kenangan yang terpahat.
 
Aku mahu lari seketika. Aku letih menahan rindu yang amat dalam ini. Bebaskanlah aku.
 
p/s - Dalam banyak-banyak huruf, huruf apa yang paling aku suka lukis. Jawapannya - 'N'. Sebab ada 'Naim' dan 'Nasrul'.
.



Tuesday, November 27, 2012

Langkawi Pulau Legenda

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Aku akui, pengalaman bekerja memberikan aku peluang untuk mengembara di negara sendiri. Rapat bersama rakan-rakan sekerja yang memang kaki jalan, sememangnya merealisasikan impian aku yang mahu melihat dunia luar.
 
Pulau Langkawi; pulau kecil di utara Malaysia. Ternyata melebihi daripada apa yang aku sangka. Pulau yang pernah menyimpan banyak legenda melayu ini sebenarnya memberi kepuasan kepada sesiapa yang mahu menerokainya. Walaupun tidak berjaya melawat kesemua tempat, tapi kepuasannya ternyata tidak menghampakan.
 
Ini kali keempat aku melawat pulau ini dan kali inilah yang paling menyeronokkan. Menetap di hadapan Pantai Cenang memberikan seribu satu cerita. Pada malamnya, kawasan ini seperti pesta dengan longgokan ramai pelancong luar. Kadang-kadang tersenyum sendiri kerana menjadikan diri seperti pelancong asing konon-kononnya.
 
Kalau stereotaipnya di Langkawi, melawat makam mahsuri itu lazim. Aku akui tempat itu sudah aku lawati. Kali ini pengalaman baru aku rasai dengan mengapungkan diri di tasik dayang bunting yang menyimpan misteri dari kayangan.
 
Mitosnya, disini tempat berikhtiar untuk mendapatkan zuriat. Sudah semestinya mitos ini bukanlah untuk aku masih berstatus bujang. Sebenarnya aku teruja ingin merasai nikmati mandi di dalam tasik yang dalam. Seronok bila kaki bebas terbang di dalam tasik tanpa mencecah lantai dasarnya.
 
Sebenarnya banyak lagi ceritanya yang aku tinggalkan di pulau ini. Biarlah semuanya terpahat dalam memori. Ternyata, percutian hujung tahun kali ini berjaya merapatkan kami semua sebagai rakan sekerja yang mampu bertolenrasi dan berkongsi segala-galanya bersama-sama.
 
p/s - tidak hairanlah kalau orang kata pulau langkawi pulau Tun Dr Mahathir. Lanskapnya sendiri jelas mempamerkan wajah mantan perdana menteri kita. Kalau aku jadi orang langkawi hari ini, aku pun bangga mengaku sebagai warganya.
.


Wednesday, November 21, 2012

Suprise..



 
 
Tak semua perkara, bila kita minta kat hati, tiba-tiba muncul di depan mata. Tapi kali ini memang macam ajaib. Cakap dalam hati, tetiba dapat.. hahaha !!
 
Dua minggu lepas, kalau g jusco seremban, mesti nak ke MPH book store. Sebabnya ada satu hari tu tetiba aku ternampak buku terpampang nama 'YASMIN'... Sejujurnya aku ada penyakit obses pada karya Yasmin Ahmad.
 
Sejak itu, aku belek-belek buku tu kemudian letak semula. Aku memang mahu memiliki buku ini, tapi aku pendamkan atas alasan mengutamakan pada keperluan lain. Tapi, kalau dah rezeki tak ke mana, sebabnya ada yang sudi memberi.
 
 Kini aku sudah memulakan pembacaan. Harap-harap bahasa inggeris aku dapat ditingkatkan prestasinya melalui bacaan ini.
 
Tentang wireless mouse model mini cooper ni.. lagi la dahsyat.. langsung tak pernah terfikir apa-apa, tetiba dapat. Hahaha... !! Jadi, tabiat baru sekarang adalah menggunakan laptop bersama mouse.. Janggal jugak ler...
 
Tak dapat keretanya, dapat model wireless mouse pun jadi la..
 
p/s - bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
.



Monday, November 19, 2012

Hadiah Sebagai Cikgu..

 
 
Hari ini keputusan UPSR keluar. Sebagai seorang guru, aku turut  merasai debaran menantikannya. Namun rasa resah dan debaran ini aku kongsikan bersama dengan guru-guru lain. Alhamdulillah, di sekolah ini, guru-gurunya sentiasa bersama dalam senang dan susah. Aku dapat merasakan bahawa guru-guru lebih terasa gelisahnya.
 
Pengalaman pertama menghadapi perasaan sebagai guru untuk menantikan keputusan anak-anak muridnya adalah suatu perasaan yang berlainan dan sangat mengujakan. Apatah lagi apabila sekolah didatangi oleh wakil dari Jabatan Pelajaran Negeri, PPD seremban malah wakil dari RTM turut bersama pada awalnya.
 
Kehadiran mereka ini sememangnya menjadi teka teki sepanjang tempoh menunggu keputusan yang datang. Dalam pada tu, ada juga terdengar ura-ura pencapai sekolah sangat meningkat. Peratus penurunan pointer naik dengan mendadak. Memang satu kejayaan.
................
 
Sebagai permulaan kerjaya, perubahan dari segi akademik dan attitude murid-murid adalah kejayaan bagi aku. Secara jujur, keputusan mereka adalah baik sebagai murid-murid berkeperluan khas. Dengan mendapat keputusan 2A (dan lain-lain) daripada 5 subjek adalah keputusan yang boleh menggembirakan seisi sekolah.
 
Secara peribadi, dengan perubahan gred B untuk subjek sains sangat memberi makna kepada aku terutama untuk Nasrul. Nasrul pada asalnya bermula  dengan berpengetahuan terhad dalam subjek sains kini boleh mendapat keputusan B untuk subjek sains.
 
Dalam hati tak sudah-sudah mengucapkan syukur. Bila terlihatkan Nasrul keluar dari bilik mesyuarat dan memeluk aku erat sambil mengalirkan air mata, aku rasa terharu. Kepuasan sebagai guru yang membantu mereka bagaikan terbayar.
 
"Nasrul, selalu cikgu berpesan, sebenarnya kamu boleh belajar. Cikgu percaya kamu boleh !!"
 
" Naim, kamu buat yang terbaik.., cikgu bukan apa.. cikgu nak sangat tgok kamu keluar kat tv satu hari nanti.. kalau kamu dapat keputusan yang baik, nanti mesti keluar tv.. jadi, belajar la rajin-rajin"
 
Kedua-dua mereka telah pun merealisasikan impian aku. Mereka juga telah mendorong kepuasan aku dalam mengajar biarpun dalam dunia baru yang aku anggap asing dulu.
 
Walaupun aku mengajar dalam aliran pendidikan khas, aku turut juga merasakan kepuasan mengajar dan adakala kepuasan itu melangkaui dari apa yang aku sangkakan.
Semua ini mengajar aku supaya sentiasa kuat dan lebih bersedia untuk cabarang yang mendatang.
 
Untuk tahun depan, aku bakal mengemudi kejayaan anak-anak didik tahun 6. Aku berjanji untuk membuat yang lebih baik lagi. Kali ini biarlah ada murid yang dapat Sains 'A'.
 
p/s - Nasrul, Naim.. cikgu bangga dengan anda semua.
Cikgu sayang korang..( yang ni malu nak cakap kat depan diorang )
.


Saturday, November 17, 2012

ISTANBUL... Aku Datang !

 
 

Hari ni aku pergi menonton wayang -  Istanbul.. Aku Datang; sambil mencari-cari hadiah perkahwinan untuk kawan-kawan. Walaupun aku lelaki, tetapi aku lebih gemarkan filem yang slow dan romantik. Namun, filem melayu selalunya bukanlah rutin pilihan.
 
Tapi untuk filem Istanbul Aku Datang!: adalah sangat-sangat menyeronokkan. Setiap babak kebanyakkan buat boleh membuatkan aku ketawa. Jalan cerita yang mudah dan garapan plot yang menarik. Lagipun warna visualnya agak menarik.. best.. tenang jer menonton. Terasa mood berada di Istanbul tue..
 
Melalui filem ni, ada satu dua idea yg dapat aku simpulkan.
1- lelaki seharusnya melayan wanita dengan rasa kasih yang paling kuat. Aku belajar perkara ini dari kesilapan yang lepas. Mengabaikan wanita, adalah satu kesilapan besar, kerana wanita terlalu sukakan perhatian dan kasih sayang.
 
2 - adakala kita bercinta dalam tempoh yang panjang dengan seseorang sedangkan jodoh kita bukan dengan dia yang kita rancang. Kerana, perancangan Allah adalah lebih sebaik-baiknya.
 
3 - perasaan berlebih-lebihan dalam bercinta selalunya berakhir dengan kekecewaan. Kerana, selalunya apa-apa yang kita idam-idamkan tidak berhasil seperti yang kita cita-citakan. Terlalu berusaha pun, tidak elok sebenarnya. Ikut aliran.. hahaha..
 
4 - jangan lakukan pengkhianatan. Sekiranya kita diterima selepas pengkhianatan terbongkar, sudah pasti perasaannya tidak akan sama seperti sebelumnya.
 
5 - Jangan buruk sangka atau bersetuju dengan sangkaan awal / sangkaan pertama kita. Sebetulnya selidikilah dulu.. sebab mata selalunya tersilap.
 
6 - betul apa yang diungkapkan dalam filem. Kalau kita ditipu bukan kerana kita bodoh. Tetapi kerana kita terlalu mudah mempercayai orang lain. Itu aku akui.
 
7 - jangan cepat melatah. kalau berlaku salahfaham, baik beri peluang untuk mereka jelaskan, kenapa sesuatu insiden itu boleh berlaku. Maafkan kesilapan mereka dan lupakan. Memaki hamun itu sesuatu yang merugikan.
 
8 - Penghargaan - APPRICIATE the person who really care about you.. they are not asking for anything other than taking care their HEARTS.
 
kesembilan - bilik tidur yang kemas bukan lagi untuk orang perempuan sahaja. Lelaki pun boleh. Apatah lagi kalau bilik lelaki ada gantungan bingkaian gambar dirinya dan emak. Wow.. so sweet...
 
kesepuluh - positif. jangan menipu dan berkongsilah walaupun sukar.
 
Lisa Surihani sangat sweet, cute, cantik, dan......
kenapa pilih YUSRI...??? bukan AKU..??
 
p/s - janganlah tercuit.
.


Thursday, November 15, 2012

Kembali Senyum.






Setelah berhari-hari sebelum ini aku tatap gambar-gambar ini dengan rasa kesedihan. Hari ini aku tatap kembali dengan paradigma yang berbeza dan posisi yang lain pula.
 
Tidak aku sangka. Aku boleh tersenyum dan ketawa kecil. Anak-anak ini selalu mampu buat aku ketawa biarpun dengan gambar kaku dari mereka.
 
p/s - salam maal hijrah.
.

Saturday, November 10, 2012

Berpisah Itu Lumrah Alam.

 
 

Akhirnya, waktu yang aku hitung-hitung sudah meniti tarikhnya. Malam sebelumnya ada jamuan perpisahan asrama. Orang makan, aku asyik menung saja. Sudahlah 4 orang mahu bertukar ke sekolah menengah, ditambah pulak dengan 3 beradik yang mahu berpindah ke Sungai Petani secara tiba-tiba.
 
Aku rasakan kehidupan begitu tidak adil masa ini.
 
Ada ketikanya, Allah akan uji kita dengan mengambil orang-orang yang kita sayang. Yang meninggalkan aku kali ini adalah murid-murid yang paling aku harapkan. Yang selalu membantu aku, yang selalu menjadi penghibur di saat hati sunyi, yang selalu membawa kegembiraan.
 
Ada masa bila aku memikirkan kehidupan aku sebagai seorang guru dan warden pada tahun depan, air mata pasti akan mengalir. Kali ini sangat-sangat deras. Aku menjadi sangat lemah. Kenangan-kenangan yang manis pada masa lepas itu adakala bertukar kepada racun menghakis kekuatan aku.
 
Aku takkan pernah terfikir akan jadi begini untuk perkata-perkara seperti ini. Bukan tidak pernah berpisah dengan sesiapa. Tapi kali ini, aku memang kalah.
 
Pada malam sebelum hari terakhir, banyak perkara aku pesankan pada mereka . Di dalam bilik warden, aku berpesan banyak perkara. Belajar rajin-rajin. Selepas ni, pelajaran di sekolah menengah lebih sukar, tapi seronok untuk dipelajari.Pandai-pandai memilih kawan, jangan berkawan dengan kawan yang malas belajar dan merokok. Jangan ponteng kelas. Hormati guru.
 
Sebenarnya aku nak cakap , "Jangan lupakan cikgu, sebab cikgu takkan dapat nak lupakan awak berdua".. tapi aku simpankan saja.
 
Aku sentiasa memahatkan doa, agar akan ada orang yang dapat menjaga mereka di sana lebih baik dari aku menjaga mereka . Kerana mereka berdua sudah terbiasa diberi perhatian.
 
Harapan aku, agar mereka dapat mengejar cita-cita dan menjadi orang berjaya.
 
Selepas ini, sebagai seorang guru aku harus menjadi seorang yang lebih bersedia dan kuat menghadapi apa saja yang mendatang. Jiwa yang lemah seperti ini harus aku hentikan biarpun yang patah itu gantinya tidak akan serupa.
 
Aku percaya, terdapat anak-anak murid yang lain yang memerlukan perhatian aku selepas ini. Insyaallah, aku berjanji unutk melakukan yang terbaik untuk murid-murid aku. Cikgu bertuah mempunyai peluang mendidik kamu semua.
 
Menjadi guru pendidikan khas selalu menjadikan aku seorang guru yang istimewa.
 
p/s - tahun depan menjadi guru kelas untuk pelajar tahun 6 atas penglihatan. Tanggungjawab makin bertambah untuk digalas bagi melahirkan warga anak-anak khas menjadi seorang yg bijak sains.
.


Thursday, November 8, 2012

Pra - Perpisahan

 
 
 
Selain Naim yang bakal meninggalkan aku tidak lama lagi; Aku juga ada Nasrullah atau aku panggil Nasrul.
 
Kedua-dua mereka memberi pengaruh besar dalam kehidupan aku. Kehilangan mereka dalam beberapa detik kemudian nanti, ternyata memberi impak besar terhadap diri aku sendiri.
...
 
Hari ini, aku ambil kesempatan untuk menghabiskan masa bersama mereka berdua. Tamat saja waktu persekolahan, aku ajak mereka berdua ke restoran makanan segera yang paling aku rasakan sesuai. Kemudian menghabiskan masa di pusat membeli belah. Aku fikir, mungkin cara sebegini boleh meredakan sedikit, rasa kesedihan yang membeku dalam hati.
 
Aku melihat ketawa riang mereka berdua. Mungkin itulah senario orang yang ingin meninggalkan kita. Bagi yang ditinggalkan, ada banyak perkara yang terpaksa dikenang walaupun tidak diperkenan dalam hati.
 
Sebagai seorang guru, aku cuba sedaya upaya menjadi seprofesional yang mungkin. Sehabis daya sebenarnya aku berlakon seperti tiada apa-apa, walaupun aku tahu mereka berdua boleh membaca 'kemendungan' perasaan aku.
 
Pada malamnya, kami menonton tayangan wayang James Bond - Skyfall. Aku tau, minat mereka berdua yang gemarkan filem aksi. Walaupun malam itu, plot filemnya agak lembab, tapi mereka masih tetap jua menonton. Sepanjang malam, aku dapat melihat wajah-wajah ceria berkuntumkan senyum mereka berdua.
 
Salah seorang rakan aku melabelkan aku obses pada seseorang atau bahan bukan hidup. Aku tak berminat nak tanya - Kenapa? Apa?... kerana bagi aku, seorang guru pun manusia biasa, lebih-lebih berada dalam situasi aku.
 
Sebelum aku bertolak balik ke rumah, aku memeluk mereka sorang demi seorang.. kali ini dakapannya lebih lama sambil aku tepuk belakang mereka. Aku tanyakan..
 
"Malam ni, sebelum tidur, fikirkan apa yang kamu mahu jadi bila besar ?
Malam esok cikgu akan tanya kamu semula..."
 
dalam hati, aku sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka. Jadi, bagi aku semuanya tetap bermula dengan cita-cita yang kita coretkan semenjak dari usia kecil.
 
p/s - Adat bertemu dan berpisah, lumrah alam manusia.
.

Sunday, November 4, 2012

Bermakna

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Dalam hidup, sudah pasti ada kesukarannya. Itu aku akui dari dulu. Dalam meningkatkan potensi diri, aku terpaksa mengorbankan kesenangan hidup dengan kegigihan dalam diri. Aku bukan genius. Aku bukan seorang yg tinggi kemahiran. Aku bukanlah seorang yang gagah.
 
Sebaliknya, aku selalu mengingatkan diri, bahawa aku seorang yang selalu berfikir dengan apa yang aku ada. Pengalaman dan kenangan banyak mengajar aku untuk berhadapan dengan cabaran.
 
Minggu ini jadual aku padat. Aku menghadiri mesyuarat di Melaka. Sebelum meninggalkan sekolah untuk ke Melaka, aku terpaksa menyelesaikan macam-macam hal. Semua menyesakkan dada. Masa tu, aku tak rasa perkara semacam itu menyebabkan aku suka menjadi guru. Hahaha..!!
 
Menghadiri mesyuarat yang dipenuhi dengan panel-panel yang berpengalaman dan berjawatan - memang membuatkan hati menjadi bengkak. Pandangan orang muda semacam aku, memang layaknya dipijak-pijak dengan mempertikaikan setiap buah fikir yang ada. Tapi itulah pengalaman. Aku kutip semua itu. Belajar menerima pendapat yang dibantah.
 
Ditolak tidak bererti pendapat kita tidak betul.
 
Selebihnya, kebanyakan masa  aku habiskan dengan bergelak ketawa bersama rakan-rakan sekursus yang telah sedia aku kenal. Berjalan-jalan sekitar bandaraya Melaka bersama mereka, memang menyeronokkan biarpun setiap petang hari hujan. Bukan itu sahaja, aku berpeluang melawat ke sekolah dalam hopital di Hispital Melaka.
 
Makan adalah agenda yang paling aku suka sehingga aku takut dengan kenaikan perut sendiri. Tapi apa boleh buat, semua makanan yang tersedia enak-enak belaka. Untuk hari-hari yang seterusnya adalah agenda berjalan-jalan, makan dan shopping diteruskan dengan akak-akak sewarden sebaik sahaja sampai di rumah.
 
Sebenarnya, dalam kehidupan kita ini, setiap saat adalah bermakna. Walaupun hari ini adalah kenangan yang pahit untuk ditelan, tapi itulah penawar bagi kepahitan pada masa akan datang. Begitu juga untuk saat-saat manis hari ini, sudah pasti menjadi penawar pada rindu yang mendatang. Semuanya berhikmah.
 
Menghabiskan masa dengan orang-orang yang menggembirakan adalah hikmah yang bermakna. Terima kasih. Alhamdulillah.
 
p/s - hari ini memeluk Naim penuh dengan kesayuan.
.