Raya tahun ini, kami tidak pulang ke desa di Jelebu seperti tahun-tahun yang lepas. Memandangkan atuk tidak sihat dan berada di rumah makcik di Kuala Pilah. Jadi kami semua berkumpul di sini.
Walaupun tidak berada di desa seperti biasa, namun kemeriahannya lebih kurang sama. Gelak ketawa pasti ada setiap kali bersua dan berbicara. Almaklumlah, bila sudah besar dewasa begini, jarang-jarang dapat berjumpa. Cuti raya macam ni la kami ambil kesempatan untuk bergembira berjumpa sanak saudara.
Seperti dua tahun yang lepas, kami tiga beradik terpaksa beraya tanpa abah bersama disebabkan abah terpaksa bekerja di pagi raya. Selalunya abah sibuk sehinggalah hari raya kedua. Jadi raya tetap diteruskan dengan bermaaf-maafan bersama emak, dan sanak saudara yang lain-lain. Namun untuk menyempurnakan hari lebaran ini, aku tetap mengunjungi abah bermohon maaf di tempat kerjanya.
Walaupun di rumah, mak dan ibu saudara hanya membuat rendang ayam, namun nikmat berhari raya menyempurnakan hajat di hati untuk merasa enaknya rendang daging apabila berkunjung beraya di rumah saudara yang lain.
Hari raya tahun ini, menyaksikan atuk yang kurang sihat. Atuk tidak dapat lagi bergerak dari pusat ke bawah. Setiap pergerakan atuk memerlukan orang lain yang mengangkatnya. Adakala semput juga dibuatnya. Namun aku selalu berpegang kepada apa yang emak selalu nasihatkan.
"Kalaulah manusia tahu bahawa menjaga ibu bapa pada usia tua mereka, Allah akan memberi ganjaran mahligai di syurga nanti. Sudah pasti ramai manusia berebut-rebut untuk menjaga kedua ibu bapanya"
Jadi, aku rasa disebalik ketidaksihatan atuk, sudah pasti ada hikmah di mana-mana selain mengajar kami semua anak dan cucu atuk erti kesabaran malah menguatkan silaturrahim antara kami semua.
Aku selalu mengingatkan diri bahawa terdapat dua perkara yang akan menjadikan silaturrahim terputus. Pertama perasaan hasad dengki. Kedua, tamak pada harta dunia.
p/s - petang raya pertama beraya di Sri menanti. Seronok juga beraya dengan motor ni kan?
.